Idea kebebasan dan hak asasi manusia kononnya dipelopori
fahaman liberal. Liberal bermaksud bebas - beri kebebasan manusia berfikir,
memilih agama, berekonomi dan bersuara. Sebab itu apabila wujud kebebasan dalam
beragama, datang di sana pluralisme. Apabila bebas dalam ekonomi, datang pula
sekularisme, kapitalisme dan sebagainya.
Begitu juga hak kebebasan pada hari ini yang disuarakan.
Dinamakan dengan hak asasi manusia. Ia datang daripada doktrin liberalisasi.
Demikian juga, tidak akan wujud pluralisme melainkan ada di sana liberalisme.
Tunjang dan tulang belakangnya adalah liberal.
Apabila pemikiran ini menyeru manusia ke arah kebebasan,
mereka menyeru rakyat agar mencorak kehidupan tanpa keterikatan dengan
pendirian agama. Hasil tekanan dan implikasinya sangat besar seperti yang
dirasai pada hari ini.
Dari perspektif Islam pula, pemikiran seperti ini muncul pada
kurun ke-2 hijrah, apabila kitab-kitab karangan pendeta-pendeta Yunan Greek
diterjemahkan ke dalam bahasa Arab pada zaman Khalifah Makmun.
Falsafah-falsafah Yunan ini membicarakan konsep ketuhanan
melampaui nas-nas agama, prinsip-prinsip akidah Islam berbicara konsep
ketuhanan semata-mata dengan menggunakan teori akal. Apabila diterjemahkan ke
dalam bahasa Arab, berlaku kecelaruan.
Wujud di sana gerakan seperti Mu’tazilah, di mana prinsip dan
pendirian Mu’tazilah ini seperti yang disebut oleh Imam Syahrustani dalam
Al-Milal wan-Nihal dan ramai lagi ulama serta pengkaji-pengkaji akidah yang
lain, di antara prinsip terpenting Mu’tazilah adalah untuk mengatakan sesuatu
perkara itu baik atau buruk hujahnya adalah akal bukan nas.
Berbeza dengan pendirian Islam, seperti dinukilkan dalam
hadis yang disandarkan kepada Ali bin Abi Thalib r.a, kata Ali bin Abi Thalib,
“Seandainya agama itu dengan akal semata, maka tentu bahagian bawah khuf lebih
layak untuk disapu daripada bahagian atasnya. Namun sungguh aku sendiri telah
melihat Rasulullah SAW mengusap bahagian atas khufnya.”
(Riwayat Abu Daud)
Jika mengikut logik, bahagian bawah yang kotor, tetapi Nabi
mengajar kita menyapu bahagian atas. Maknanya, agama bukan dengan akal
semata-mata. Agama meletakkan nash di depan. Jadi kerana itu, apabila datang
seruan kepada hak kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kita kena
berhati-hati. Ya, setiap makhluk di atas muka bumi ini perlu diberikan hak.
Islam menjaga hak alam. Islam menjaga hak makhluk selain dari
manusia seperti jin. Jangan kita terkejut. Seperti mana Nabi SAW menegur
sahabat,
“Janganlah kalian beristinja dengan menggunakan kotoran haiwan dan
tulang, kerana sesungguhnya ia adalah makanan saudara kalian dari bangsa jin.”
(Riwayat Daud)
Hak bagi kaum jin pun dijaga, hak haiwan juga dijaga dalam
Islam. Sangat dijaga adab dan etika dalam sembelihan. Sehingga Nabi SAW pernah
menegur seorang sahabat mengasah pisau di hadapan kambing yang hendak
disembelihnya.
Nabi bersabda,
“Apakah kamu hendak mematikannya dengan
beberapa kali kematian?! Hendaklah pisaumu sudah diasah sebelum engkau
membaringkannya.”
(Riwayat Al-Hakim)
Islam beri hak kepada manusia tidak kira bangsa, warna kulit
dan agama. Hak mereka perlu diutamakan. Sebab itu orang yang asyik bercakap hak
kebebasan dan hak asasi, seolah-olah mereka melihat Islam tidak beri dan tidak
jaga hak asasi manusia.
Islam mendahului penjagaan hak asasi manusia. Cuma Islam
memberikan garis panduan, ada adab perlu dipatuhi. Hendak bercakap, menegur
boleh tetapi dengan perkataan baik. Kalau tiada perkataan baik, ALLAH
memerintahkan supaya diam.
Hendak tubuhkan NGO, bantu sesama manusia boleh, tetapi tidak
boleh sokong LGBT, sebab ia perbuatan dilaknat ALLAH SWT. Nabi SAW bersabda,
“Apabila kamu menemui orang yang mempraktikkan amalan kaum Luth maka bunuhlah
pelakunya dan yang dilakukan ke atasnya dengan reda.”
(Riwayat At-Tirmidzi)
Tentu sahaja hak menjatuhkan hukuman kembali kepada pihak
berkuasa. Jika demikian, mengapa kita pada hari ini atas nama hak asasi
manusia, kelompok yang dilaknat ALLAH ini dibiarkan malah disokong.
Sebab itu apabila kita bersuara tentang hak kebebasan dan hak
asasi, kita perlu ada garis panduan dan melihatnya dari acuan dan kaca mata
Islam. Perlu kita ketahui bahawasanya Islam lebih dahulu telah berbicara
tentang hak kebebasan dan hak asasi manusia.
Oleh: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Sumber: http://ilmuanmalaysia.com/
Rencana yang menarik untuk dikongsi bersama
ReplyDelete