Tuesday, December 1, 2015

Orang Islam Mesti Pelihara Hak Setiap Individu Manusia

Dalam al-Quran dan Sunah terdapat perkara-perkara yang menyentuh hak-hak manusia. Ini lebih jelas apabila meneliti kandungan Sahifah Madinah. Jaminan ke atas hak-hak rakyat adalah bertujuan supaya keadilan dan kesaksamaan dapat dicapai dan dinikmati oleh rakyat. Jaminan kepada hak-hak rakyat atau individu adalah menjadi makasid al Syariah.
Tujuan utama syariah adalah untuk menjaga kepentingan manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Perkara yang menyentuh hak utama individu yang mesti dipelihara ada lima iaitu hak ke atas agama, nyawa (diri), akal, keturunan (maruah) dan harta. Pemeliharaan kepada kelima-lima perkara tersebut adalah diberi jaminan oleh syarak.


Pengabaian kepada pemeliharaan lima perkara ini akan menyebabkan hilang (hak) dan mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Mempertahankan (hak) adalah maslahah atau kebaikan bagi manusia. Justeru bagi mencapai kesejahteraan dan kebaikan hidup duniawi maka hak ke atas nyawa, harta benda, kehormatan keturunan, akal dan agama adalah dilindungkan oleh syarak.

Bagi menjamin daripada pencerobohan ke atas hak-hak tersebut beberapa kaedah telah diadakan seperti Sad al-Zaraie iaitu suatu kaedah bagi jaminan dan perlindungan yang diberi oleh perundangan syariat. Dalam memperkukuhkan jaminan ini maka diadakan hukuman ke atas mereka yang menceroboh hak-hak tersebut.

Hukum syarak menentukan hukuman yang berat ke atas pelanggan hak-hak asasi manusia. Sebagai contoh apabila berlaku pencerobohan ke atas diri dan nyawa hukuman Qisas boleh dijatuhkan. Apabila pencerobohan berlaku ke atas kehormatan seseorang dan harta benda hukuman hadd boleh dikenakan. Begitu juga jika seseorang melakukan kebinasaan ke atas diri sendiri, seperti mabuk, dia boleh dihukum.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjaga hak diri dan nyawa. Di antaranya firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan jangan kamu membunuh diri seseorang manusia yang dilarangkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.

Ini menjelaskan bahawa manusia adalah sama tarafnya dan dilindungi oleh undang-undang. Tiada sesiapa boleh menceroboh hak kebebasan diri seseorang. Tidak boleh melakukan perkara yang menyekat diri, mencedera dan sebagainya. Nyawanya tidak boleh diambil kecuali dengan kuasa undang-undang.

Tujuan diadakan peraturan atau perundangan adalah untuk memelihara kebajikan dan maslahat atau menolak berlaku kerosakan atau kemudaratan kepada diri seseorang. Jika peraturan dan perundangan tidak dapat menjamin tujuan tersebut ini akan mendatangkan ketidakadilan dan pencerobohan ke atas hak seseorang.

Manusia diberi hak kebebasan untuk bergerak termasuk bekerja, melakukan kegiatan harian, mencari rezeki di tempat yang halal untuk nafkah diri dan keluarga, membuat sumbangan kepada pembangunan negara.

Islam memberikan hak kepada seseorang menganut agama pilihannya. Seseorang tidak boleh dipaksa untuk menganut agama tertentu. Dalam al-Quran ada menyatakan yang bermaksud: Tiada paksaan dalam agama (Islam).

Ayat tersebut secara jelas menyatakan bahawa di antara asas Islam ialah tidak ada paksaan. Islam disebarkan dengan cara dakwah Islamiah kepada orang ramai dengan cara yang baik dan bijaksana. Ini adalah manhaj yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda menyebarkan Islam. Sebagai contohnya baginda telah menerima Perjanjian Hudaibiyah dan di antara kandungannya ada menyebut tentang pengikut Islam yang pergi ke pihak musyrik mereka ini tidak akan dihantar semula kepada pihak Islam.

Islam memandu supaya manusia memilih agama yang benar iaitu agama Allah seperti maksud firmanNya, Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Apabila seseorang itu telah memilih agama Islam sebagai agama yang benar, dia dikehendaki memelihara akidah Islam supaya tidak terjejas atau murtad. Jika memilih untuk keluar Islam atau murtad, dia tertakluk kepada aturan dalam hukum syarak, dan dia digolongkan dalam golongan orang yang rugi.

Untuk memelihara hak menganut agama supaya tidak terganggu seseorang itu hendaklah mengamalkan dan bukan setakat beriman dengan lidah mengakui Islam. Mengenai dengan kehormatan diri dan nyawa orang bukan Islam, nabi ada bersabda bahawa Barang siapa membunuh Muahad nescaya tidak menghidu bau syurga.

Islam menyeru supaya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menumpahkan darah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Akal adalah nikmat yang paling berharga dan bernilai yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia dan dengannya membezakan dengan kejadian dan makhluk yang lain. Apabila manusia hilang akalnya hapuslah daya pertimbangan yang sihat dan waras. Ini boleh merosak dan mengancam dirinya sendiri dan orang lain. Justeru memelihara akal daripada perkara yang boleh mendatangkan mudarat adalah menjadi tujuan syarak. Dalam al-Quran terdapat lebih dari empat puluh tempat yang menyebut tentang kepentingan `akal fikiran' dan saranan supaya manusia menggunakan akal.


Dari segi hukum dan perundangan, akal adalah syarat bagi menentukan seseorang itu `mukalaf' atau mempunyai tanggungjawab dalam tindakan dan amalannya. Justeru Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh merosakkan akal seperti arak dan dadah. Pengharaman arak terdapat dalam al-Quran. Seperti juga dengan dadah yang boleh membinasakan manusia.

Oleh: Datuk Dr. Abdul Monir Bin Yaacob
Sumber: http://www.ikim.gov.my/

1 comment:

  1. Walaupun umat Islam mempunyai hak ke atas setiap perkara, namun, hendaklah ia berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah supaya ia tidak melanggari batas-batas syariat yang ditetapkan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...