Hak asasi manusia merupakan perkara yang sering menjadi tuntutan masyarakat dalam memastikan hak yang sama rata dapat dinikmati bersama tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, agama, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Secara umumnya hak asasi manusia bermaksud cara atau tindakan seseorang manusia memperlakukan seseorang manusia yang lain mengikut dasar kemanusian yang sebenar.
Sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957, kebebasan atau hak
asasi manusia jarang sekali diperdebatkan. Walaupun konsep kebebasan asasi
kadang kala dibangkitkan, ia tidak lebih daripada sekadar perbincangan dari sudut
ilmuan semata-mata. Mengimbas sejarah hak
asasi manusia di peringkat antarabangsa, Perisytiharan Sejagat Hak Asasi
Manusia 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah merupakan titik
permulaan pengakuan antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Deklarasi ini memberi
penekanan kepada kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk memenuhi
keperluan asas. Pada tahun 1966 pula, satu perjanjian antarabangsa berkaitan
dengan hak ekonomi dan sosial turut diadakan, iaitu Perjanjian Antarabangsa
Berkaitan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya. Seterusnya pada tahun 1986, Deklarasi
Hak Untuk Membangun telah diiktiraf sebagai satu hak yang tidak boleh dipisahkan
dari manusia. Sesungguhnya perdebatan berhubung dengan isu hak asasi manusia di
peringkat antarabangsa adalah isu yang berterusan sehingga kini.
Di Malaysia, gesaan dan kritikan mengenai hak asasi manusia sering
kali dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, khususnya badan bukan kerajaan
(NGO) seperti Aliran, Hakam dan Suaram. Namun tuntutan ini semakin menjadi-jadi
akibat masalah politik yang dialami negara khususnya pada penghujung tahun
1990. Hasilnya Kerajaan telah merangka Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang
telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1999. Suruhanjaya kebangsaan ini
lahir tepat pada masanya, sejajar dengan kehendak dan desakan rakyat secara umum
supaya diwujudkan satu institusi yang bebas bagi menjaga dan memelihara hak
asasi manusia di Malaysia.
Penubuhan Suruhanjaya ini dilihat sebagai satu perkembangan
positif yang membuka satu lembaran baru dalam sejarah perjuangan dan perlindungan
hak asasi di negara ini. Kewujudannya diharap akan menyuntik satu kesedaran yang
luas dalam kalangan rakyat mengenai hak asasi yang dijamin di sisi undang-undang.
Oleh: Harlida Abdul Wahab
Sumber: http://repo.uum.edu.my/
SUHAKAM memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengutarakan suara bagi menuntut hak yang sewajarnya.
ReplyDelete