Showing posts with label Asasi. Show all posts
Showing posts with label Asasi. Show all posts

Wednesday, December 2, 2015

Ringkasan Perkembangan Hak Asasi Manusia Di Malaysia

Hak asasi manusia merupakan perkara yang sering menjadi tuntutan masyarakat dalam memastikan hak yang sama rata dapat dinikmati bersama tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, agama, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Secara umumnya hak asasi manusia bermaksud cara atau tindakan seseorang manusia memperlakukan seseorang manusia yang lain  mengikut dasar kemanusian yang sebenar.

Sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957, kebebasan atau hak asasi manusia jarang sekali diperdebatkan. Walaupun konsep kebebasan asasi kadang kala dibangkitkan, ia tidak lebih daripada sekadar perbincangan dari sudut  ilmuan semata-mata. Mengimbas sejarah hak asasi manusia di peringkat antarabangsa, Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah merupakan titik permulaan pengakuan antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Deklarasi ini memberi penekanan kepada kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk memenuhi keperluan asas. Pada tahun 1966 pula, satu perjanjian antarabangsa berkaitan dengan hak ekonomi dan sosial turut diadakan, iaitu Perjanjian Antarabangsa Berkaitan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya. Seterusnya pada tahun 1986, Deklarasi Hak Untuk Membangun telah diiktiraf sebagai satu hak yang tidak boleh dipisahkan dari manusia. Sesungguhnya perdebatan berhubung dengan isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa adalah isu yang berterusan sehingga kini.


Di Malaysia, gesaan dan kritikan mengenai hak asasi manusia sering kali dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) seperti Aliran, Hakam dan Suaram. Namun tuntutan ini semakin menjadi-jadi akibat masalah politik yang dialami negara khususnya pada penghujung tahun 1990. Hasilnya Kerajaan telah merangka Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1999. Suruhanjaya kebangsaan ini lahir tepat pada masanya, sejajar dengan kehendak dan desakan rakyat secara umum supaya diwujudkan satu institusi yang bebas bagi menjaga dan memelihara hak asasi manusia di Malaysia.



Penubuhan Suruhanjaya ini dilihat sebagai satu perkembangan positif yang membuka satu lembaran baru dalam sejarah perjuangan dan perlindungan hak asasi di negara ini. Kewujudannya diharap akan menyuntik satu kesedaran yang luas dalam kalangan rakyat mengenai hak asasi yang dijamin di sisi undang-undang.

Oleh: Harlida Abdul Wahab
Sumber: http://repo.uum.edu.my/

Tuesday, December 1, 2015

Islam Menjaga Hak Asasi Manusia

Idea kebebasan dan hak asasi manusia kononnya dipelopori fahaman liberal. Liberal bermaksud bebas - beri kebebasan manusia berfikir, memilih agama, berekonomi dan bersuara. Sebab itu apabila wujud kebebasan dalam beragama, datang di sana pluralisme. Apabila bebas dalam ekonomi, datang pula sekularisme, kapitalisme dan sebagainya.

Begitu juga hak kebebasan pada hari ini yang disuarakan. Dinamakan dengan hak asasi manusia. Ia datang daripada doktrin liberalisasi. Demikian juga, tidak akan wujud pluralisme melainkan ada di sana liberalisme. Tunjang dan tulang belakangnya adalah liberal.

Apabila pemikiran ini menyeru manusia ke arah kebebasan, mereka menyeru rakyat agar mencorak kehidupan tanpa keterikatan dengan pendirian agama. Hasil tekanan dan implikasinya sangat besar seperti yang dirasai pada hari ini.

Dari perspektif Islam pula, pemikiran seperti ini muncul pada kurun ke-2 hijrah, apabila kitab-kitab karangan pendeta-pendeta Yunan Greek diterjemahkan ke dalam bahasa Arab pada zaman Khalifah Makmun.

Falsafah-falsafah Yunan ini membicarakan konsep ketuhanan melampaui nas-nas agama, prinsip-prinsip akidah Islam berbicara konsep ketuhanan semata-mata dengan menggunakan teori akal. Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, berlaku kecelaruan.

Wujud di sana gerakan seperti Mu’tazilah, di mana prinsip dan pendirian Mu’tazilah ini seperti yang disebut oleh Imam Syahrustani dalam Al-Milal wan-Nihal dan ramai lagi ulama serta pengkaji-pengkaji akidah yang lain, di antara prinsip terpenting Mu’tazilah adalah untuk mengatakan sesuatu perkara itu baik atau buruk hujahnya adalah akal bukan nas.

Berbeza dengan pendirian Islam, seperti dinukilkan dalam hadis yang disandarkan kepada Ali bin Abi Thalib r.a, kata Ali bin Abi Thalib, 

“Seandainya agama itu dengan akal semata, maka tentu bahagian bawah khuf lebih layak untuk disapu daripada bahagian atasnya. Namun sungguh aku sendiri telah melihat Rasulullah SAW mengusap bahagian atas khufnya.” 
(Riwayat Abu Daud)

Jika mengikut logik, bahagian bawah yang kotor, tetapi Nabi mengajar kita menyapu bahagian atas. Maknanya, agama bukan dengan akal semata-mata. Agama meletakkan nash di depan. Jadi kerana itu, apabila datang seruan kepada hak kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kita kena berhati-hati. Ya, setiap makhluk di atas muka bumi ini perlu diberikan hak.

Islam menjaga hak alam. Islam menjaga hak makhluk selain dari manusia seperti jin. Jangan kita terkejut. Seperti mana Nabi SAW menegur sahabat, 

“Janganlah kalian beristinja dengan menggunakan kotoran haiwan dan tulang, kerana sesungguhnya ia adalah makanan saudara kalian dari bangsa jin.” 
(Riwayat Daud)

Hak bagi kaum jin pun dijaga, hak haiwan juga dijaga dalam Islam. Sangat dijaga adab dan etika dalam sembelihan. Sehingga Nabi SAW pernah menegur seorang sahabat mengasah pisau di hadapan kambing yang hendak disembelihnya.

Nabi bersabda, 

“Apakah kamu hendak mematikannya dengan beberapa kali kematian?! Hendaklah pisaumu sudah diasah sebelum engkau membaringkannya.” 
(Riwayat Al-Hakim)

Islam beri hak kepada manusia tidak kira bangsa, warna kulit dan agama. Hak mereka perlu diutamakan. Sebab itu orang yang asyik bercakap hak kebebasan dan hak asasi, seolah-olah mereka melihat Islam tidak beri dan tidak jaga hak asasi manusia.

Islam mendahului penjagaan hak asasi manusia. Cuma Islam memberikan garis panduan, ada adab perlu dipatuhi. Hendak bercakap, menegur boleh tetapi dengan perkataan baik. Kalau tiada perkataan baik, ALLAH memerintahkan supaya diam.

Hendak tubuhkan NGO, bantu sesama manusia boleh, tetapi tidak boleh sokong LGBT, sebab ia perbuatan dilaknat ALLAH SWT. Nabi SAW bersabda, 

“Apabila kamu menemui orang yang mempraktikkan amalan kaum Luth maka bunuhlah pelakunya dan yang dilakukan ke atasnya dengan reda.” 
(Riwayat At-Tirmidzi)

Tentu sahaja hak menjatuhkan hukuman kembali kepada pihak berkuasa. Jika demikian, mengapa kita pada hari ini atas nama hak asasi manusia, kelompok yang dilaknat ALLAH ini dibiarkan malah disokong.


Sebab itu apabila kita bersuara tentang hak kebebasan dan hak asasi, kita perlu ada garis panduan dan melihatnya dari acuan dan kaca mata Islam. Perlu kita ketahui bahawasanya Islam lebih dahulu telah berbicara tentang hak kebebasan dan hak asasi manusia.


Oleh: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Sumber: http://ilmuanmalaysia.com/

Definisi dan Maksud Hak Asasi Manusia



Hak Asasi Manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia .Hak Asasi Manusia bersifat sejagat tidak boleh dibahagikan dan saling bergantungan . Hak asasilah yang menjadikan kita manusia dan menurut Kamus Dewan hak asasi ialah hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih luas.

PENAFSIRAN MODEN

Terdapat tiga dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966. Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

  1. Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang adalah hak sivil dan berpolitik
  2. Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat adalah Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi.
Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai. Pemikiran Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam pemikiran hak asasi moden. Maka sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.

Tafsiran Setiausaha Agung

Hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia. Hak asasi manusia bersifat sejagat, tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Hak asasilah yang menjadikan kita manusia. Berteraskan prinsip hak asasi manusialah kita membina kesucian maruah manusia.

Perbezaan Model kognitif Dalam Konsep Hak Asasi Manusia

Hak asasi manusia mulai mendapat tempat di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.

Kumpulan lain juga menerima pakai piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah mendeklarasikan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa konsep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah.

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu ke peringkat kampung dan negara. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.


Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.

Oleh: Inspektor Hamzah bin Ariffin
Sumber: http://hak-hak-asasi-manusia.blogspot.my/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...